Tidak berbuat walaupun tahu,
diambil pengayuh dibuang perahu.
Tidak tahu tapi berbuat,
kayuh perahu di atas darat.
Banyak bercakap tak baca buku,
macam membawa duit tak laku.
Kurang berfikir rajin membangkang,
bila-bila pun baris belakang.
Jika ilmu dikaji teliti,
di sungai cabaran tersedia titi.
Ilmu dituntut dengan tabah,
yakin diri bertambah-tambah.
Membaca buku karangan tokoh,
bagai berpaut di dahan kukuh.
Kembang ilmu tegap wibawa,
seluruh rakyat tidak kecewa.
*Rahman Shaari
*Beliau merupakan Profesor di Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya. Karya beliau ini telah dimuatkan dalam Misi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996 selain Antologi Puisi bagi Komponen Sastera Bahasa Melayu bagi Zon Selatan pada tahun 2001. Gurindam Baris Hadapan ini sarat dengan peringatan dan penekanan aspek ilmu bagi memastikan kesejahteraan hidup. Sama-samalah kita hayatinya...