*Pemandangan indah menuju ke Jungfraujoch (Top of Europe), Switzerland.

Khamis, 17 Februari 2011

Fasa Kehidupan (sambungan)

Seiring peredaran masa dan zaman, kini aku hampir menginjak usia 27 tahun. Telah berlalu zaman ‘gila-gila remaja’ menuju ke alam dewasa yang penuh tanggungjawab dan kewajipan yang lebih besar sebelum sampia ke fasa warga emas sekiranya di panjangkan usia. Semoga diiring juga kesihatan dan keberkatan hidup hendaknya. begitulah fasa-fasa kehidupan kita di dunia ini, melalui fasa menjadi seorang bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas.
Baru dilahirkan
Setahun dan dua tahun
dua, tiga dan lapan tahun


Sesungguhnya, kehidupan di dunia merupakan alam ketiga sebelum kita menuju alam akhirat yang kekal abadi. Adakah kita masih ingat pada kehidupan kita di alam yang pertama - di Luh Mahfuz? Pastinya tiada siapa mampu mengingatinya sedangkan di alam tersebutlah kita telah mematri primordial contract, melafazkan akujanji, sumpah taat setia dan pengakuan bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang layak disembah melainkan ALLAH dan sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah.

Setelah itu, ditiupkan pula ruh ke dalam jasad semasa di alam rahim setelah melalui proses biologi atas nama cinta antara ibu dan bapa yang pada kebiasaannya mengambil tempoh sembilan bulan sebelum kita dapat melihat alam ketiga - alam dunia yang penuh ujian dan tribulasi. Dua alam ini merupakan alam yang kita tidak pernah sedar dan mengingatinya tetapi telah difirmankan akan keabsahannya. Alam dunia merupakan fasa terpenting bagi manusia diuji dan melaksanakan taklifannya untuk menentukan hala tuju dan perhitungannya di alam yang terkemudian.


Beruntunglah bagi sesiapa yang melaksanakan amal kebajikan bertunjangkan keimanan dan ketakwaan terhadap Allah. Sia-sialah pula amal kebajikan tanpa disulami keimanan dan ketakwaan kepada Allah kerana iman menjadi prasyarat bagi setiap amalan diterima oleh Allah s.w.t. Kerugian yang besar bagi manusia yang mempunyai iman walau sebesar biji sawi tetapi tidak melaksanakan amal kebajikan kerana tiada hasil yang boleh dituai dan dihitung bagi memberatkan timbangan pahalanya kelak.

Segala amalan di sini akan dihitung bagi menentukan di mana selayaknya tempat kita nanti di alam akhirat kelak. Pintu taubat masih terbuka untuk kita semua selagi nyawa belum sampai di halkum atau selagi matahari tidak terbit dari barat. Alam keempat - alam barzakh merupakan alam transit untuk beristirehat bagi yang beramal soleh di dunia dan alam penuh kesengsaraan bagi pelaku maksiat yang tidak bertaubat dan memohon keampunan dari Allah.


Mudah dan bahagianya kita di alam ini akan memudahkan perjalanan kita ke alam seterusnya. Susah dan sengsaranya kita di alam ini akan menyusahkan dan membuatkan perjalanan kita ke alam seterusnya penuh dengan kesengsaraan. Sesungguhnya inilah fasa kehidupan kita melalui lima alam yang telah ditentukan untuk diuji sejauh mana ketahanan kita terhadap ujian yang diturunkanNya. Di mana kita akan ditempatkan kelak hanya Allah yang tahu bergantung kepada apakah amalan kita selama hidup di dunia ini serta syafaat Nabi Muhammad dan rahmat Allah jua diharapkan melimpahi dan melindungi kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan